| Syaikh
Abdullah bin Ibrahim yang terkenal dengan
gelaran Syaikh Abdullah Fahim merupakan
ulama terkenal Tanah Melayu dan mufti pertama
Pulau Pinang yang berkhidmat dari 1951 -
1961. Beliau dilahirkan di Kampung Syib
'Ali, Makkah pada tahun 1286H dan dibesarkan
di sana dalam suasana ilmu keagamaan. Beliau
berdamping dan berguru dengan ramai ulama,
menurut riwayatnya guru beliau di Makkah
dan Madinah tidak kurang 42 orang.
Di antara guru-gurunya ialah:-
Syaikh Abu Bakar Syatha ad-Dimyathi (murid
Sidi Ahmad Zaini Dahlan dan pengarang kitab
I`aanathuth -Tholibin yang masyhur. Jelas
bahawa terdapat hubungan sanad keilmuan
antara beliau dengan Sidi Ahmad Zaini.;
Syaikh Muhammad Sa`id BabShil;
Syaikh Muhammad Sulaiman Hasbullah al-Makki;
Syaikh Muhammad bin Ismail Daud al-Fathani;
Syaikh Wan 'Ali Kutan al-Kalantani; dan
Syaikh Wan Ahmad Muhammad Zain al-Fathani.
Syaikh Abdullah Fahim selain alim dalam
ilmu-ilmu fiqh, tauhid dan tasawwuf, juga
mendalami ilmu falak. Keahliannya dalam
ilmu falak menyebabkan nasihatnya diminta
mengenai tarikh kemerdekaan Tanah Melayu
dan cadangannya untuk tarikh tersebut diterima.
Jangan pula disalah anggap bahawa ilmu falak
Syaikh Abdullah Fahim tu serupa dengan ramalan
Tok Sami dan Tok Cha. Kalau nak tahu berkenaan
ilmu falak kenalah belajar dengan ahlinya,
cuma kena ingat bahawa falak ulama itu bukan
setakat melihat anak bulan sahaja. Mudah-mudahan
titihan zuriat beliau yang akhirnya menjadi
Perdana Menteri ke-5 Malaysia dapat memartabatkan
lagi Islam di persada dunia umumnya dan
Nusantara khususnya.
Wasiat Syeikh
Abdullah Fahim I
Ikhwah, sebenarnya aku terlupa, almaklumlah
nama sahaja insan tempat berlaku khata`
dan nisyan (salah dan lupa). Alhamdulillah,
nasib baik ada sahabat yang mengingatkan
aku berhubung dengan pesanan Syaikh Abdullah
Fahim kepada anak bangsanya. Dalam buku
"Tokoh-tokoh Ulama' Semenanjung Melayu
(2)" dipetik antara pesanan beliau:-
Supaya jangan berpecah belah oleh bangsa
Melayu sendiri. Sekarang sudah ada timbul
di Malaya mazhab Khawarij yakni mazhab yang
keluar dari mazhab 4 mazhab Ahlis Sunnah
wal Jama`ah. Maksud mereka itu hendak mengelirukan
faham awam yang sebati dan hendak merobohkan
pakatan bangsa Melayu yang jati. Dan menyalahkan
kebanyakan bangsa Melayu.
Hukum-hukum mereka itu diambil daripada
kitab Hadyur-Rasul yang mukhtasar daripada
kitab Hadyul-'Ibad dikarang akan dia oleh
Ibnul Qayyim al-Khariji, maka Ibnul Qayyim
dan segala kitabnya ditolak oleh ulama Ahlis
Sunnah wal Jama`ah.
Tuan-tuan bangsa Melayu jangan tertipu daya
hasutan mereka itu dikeluar hukum-hukum
yang tiada terpakai dalam Mazhab Syafie,
dan fatwa mereka itu akan masalah yang buruk-buruk,
sudah terdengar kepada awam, harapan bangsa
Melayu jangan berpecah belah sesama bangsa
sendiri.
Siapa yang datang kepada kamu dan menyuruh
kamu semua supaya taat kepada seorang lelaki
tertentu tujuannya untuk memecahkan persatuan
kamu dan menghancurkan kesatuan kamu maka
bunuhlah akan dia.
Syadid jugak Tok Wan Pak Lah ni. Dan saudara
lihat juga bagaimana Tok Syaikh Abdullah
Fahim mengisytihar Ibnu Qayyim sebagai seorang
khawarij sebagaimana pernah dihukumkan oleh
ulama-ulama sebelum beliau terhadap puak
Wahhabi. Apa tidak khawarijnya, selain mereka
semua tak betul, semua bid`ah, semua sesat,
semua masuk neraka. Aku harap Pak Lah pegang
dengan wasiat Tok Wan dia ni. Hadhari hadhari
jugak, tapi carilah mana dia al-Ghazali,
mana dia asy-Syafi`i. Imam asy-Syafi`i dan
Hujjatul Islam al-Ghazali pergi meninggalkan
warisan bernilai tinggi berupa kitab-kitab
dan juga murid-murid yang berkesinambungan
sehingga ke masa kita ini, alhamdulillah.
Para ulama Syafi`i yang muktabar semuanya
bersambung sanad dan silsilah keilmuan dengan
mereka, jadi kalau nak cari mereka pergi
kat ulama mazhab, bukan kepada ulama khawarij
seperti kata Tok Wan tadi.
Yang aku pelik sekarang, kenapa masih ada
ustaz bila orang awam bertanya mengenai
sesuatu hukum, maka jawapan yang diberi
bersandarkan kepada pendapat Ibnu Taimiyyah
atau Ibnu Qayyim, sedangkan yang bertanya
tu umumnya bermazhab Syafi`i. Sejak bila
Ibnu Taimiyyah atau Ibnu Qayyim atau al-Qardhawi
jadi ulama sandaran dalam Mazhab Syafi`i
? Bawalah keterangan ulama-ulama Syafi`i
kita, Imam Ibnu Hajar ke, Syaikh Ramli ke
atau sebagainya. Ini yang menyebabkan orang
awam keliru dan pening kepala. Ini yang
jadi punca qunut jadi bid`ah, talqin jadi
bid`ah, talaffuz bin niyyah jadi bid`ah.
Aku rasa pihak Mufti Pulau Pinang dengan
Jabatan Agamanya sekarang kena buat pemantauan
terhadap perkembangan dakyah pencinta dan
pentaksub Ibnu Qayyim yang berpusat di sana.
Siap buat dewan pengajian atas nama Ibnu
Qayyim. Besar sangat ke jasa Ibnu Qayyim
kat bangsa Melayu Islam kat rantau ini ?
Jagalah amanah Mufti pertama Pulau Pinang
di atas.
Wasiat Syeikh
Abdullah Fahim II

Bismillahir Rahmanir Rahim. Alhamdulillah
was sholatu was salamu 'ala Sayyidina Muhammad
wa 'ala alihi wa ashabihi. (Amma ba'd),
tuan-tuan sedia maklum beratus-ratus tahun
bahawa orang bangsa Melayu seMalaya ini
dari peringkat ke bawah hingga ke peringkat
ke atas, awam-awam, qadhi-qadhi, ulama-ulama,
menteri-menteri hingga raja-raja sekalian
mereka itu bermazhab dengan mazhab al-Imam
asy-Syafi`i ijma`an tiada seorang pun yang
bermazhab lain daripada mazhab Syafi`i (yahrumu
kharqul ijma`/ diharamkan merobek ijma`).
Ambil mereka itu hukum-hukum fiqh Syafi`i
daripada kitab Tohfah dan kitab Nihayah
hingga kitab al-Umm dan mukhtasharatnya
dan terjemahnya kepada bahasa Melayu seperti
Sabilal Muhtadin, Bughyatuth Thullab dan
Mathla`ul Badrain dan lainnya.
Usuluddin atas perjalanan Abil Hasan al-Asy`ari
diambilkan daripada syuruh dan hawasyi Ummul
Barahin dan Jawharah dan sebagainya daripada
kitab-kitab Melayu.
Ilmu tasawwuf atas perjalanan al-Imam al-Ghazali
diambilkan daripada Minhajul 'Abidin, Ihya`
Ulumiddin dan terjemahnya kepada Melayu
seperti Siyarus Salikin.
Maka ini kitab-kitab dan seumpamanya segala
hukum dalamnya kesemua mustanbath daripada
Quran dan hadits yang dihalusi dan ditapis
oleh ulama-u ajilla` (ulama yang cemerlang
lagi terbilang) diamal dengan dia sudah
lebih daripada 1000 tahun dan diterjemah
kepada bahasa Melayu beratus-ratus tahun.
Ikhwah, di mana salah silapnya mazhab Syafi`i
sehingga kita hendak gugah pegangan masyarakat
kita terhadapnya. Jika mazhab Syafi`i mensunnatkan
qunut dalam sembahyang Subuh kenapa kita
nak tolak dengan mendatangkan pendapat mazhab
lain ? Salahkah mazhab Syafi`i ? Bukankah
ini hanya perkara khilafiyyah, yang pihak-pihak
kena menghormati sesamanya. Masyarakat kita
yang sudah sebati dengan qunut, dengan talaffuz
bin niyyah, kenduri tahlil dan sebagainya,
bukankah semua hal ini termasuk khilafiyyah
yang sewajarnya ditangani dengan lapang
dada, bukan dengan tuduhan bid`ah membid`ah,
sesat menyesat dan sebagainya.
|