|
Salah
seorang guru pondok yang paling berpengaruh
di Jajahan Tumpat pada pertengahan abad
ke-20 Masihi. Seangkatan dengan Haji Mohd
Saleh Pedada, Haji Yaakub Kelong, Haji Daud
Getting dan Haji Pak Man Berangan.
Nama sebenar tokoh ulama yang dilahirkan
di Kg. Padang Merbau, Lambor, Wakaf Bharu,
sekitar 1900 ini ialah Haji Abdullah bin
Haji Omar.
Bapanya Haji Omar bin Haji Abdul
Rahman-lepasan pondok di Patani-ialah seorang
Khatib di surau mukim Jal Kecik, juga adik
kepada Haji Yusuf bin Haji Abdul Rahman,
Imam Tua mukim Meranti di Jajahan Pasir
Mas. Datuknya Haji abdul Rahman yang berasal
dari Kota Bharu Reman, adalah iman perintis
di surau Mukim Jal Kecik. Beliau sendiri
bersepupu dengan Hajjah Zainab bt Haji Yusoff
yang kemudiannya menjadi isteri kepada Tuan
Guru Haji Mohd Zain Meranti, guru awalnya.
Seorang sepupunya lagi ialah Haji Ahmad
bin haji Yusoff , Imam Mukim meranti yang
meninggal dunia pada 21 Ogos 1961. Juga
bertalian dua pupu dengan Tuan Guru haji
Abdullah bin Haji Ali, Kg. Jalah , Bunut
Susu (meninggal 2 Ogos 1931).
Manakala Pak Chu Haji Amat Saman
bin Haji Abu, guru Al-Quran ternama di kawasan
Lambor/ Kubang Batang sebelum bah Air Merah
(1926) itu pula ialah abang iparnya. Kerana
latarbelakang keluarga yang sedemikian maka
tidak hairanlah jika beliau sudah mula terdedah
kepada pengajian asas agama sejak kecil
lagi.
Selepas menuntut beberapa ketika
dengan Tok Kenali dan Tok Selehong, Beliau
pergi menamat di Kota Makkah selama 9 tahun
lagi. Barisan gurunya termasuk Syeikh Omar
Hamdan, Tuan Mukhtar Bogor, Tok Senggoro,
Tok Shafie Kedah, Pak Chik Wan Daud Patani,
Haji Sulong Patani, Pak Da Ali Patani dan
Syeikh Muhammad bin Syeikh Nik Dir Patani.
Pada 1934, pulang ke Kelantan lalu
mendirikan Pondok Lambor yang telah melahirkan
tokoh-tokoh seperti Haji Mat Nor Rushdi
Haji Awang Gagah (pengasas Pondok Tasat
di Legor, Thailand), Haji Wan Mat Wan Saleh
(pendiri Pondok Paya Ular di Bunut Susu),
Haji Mohd Nor Haji Abdullah (guru Pondok
Teliar), Pak Su Che Wil Haji Abdul Rahman
(Imam Tua mukim Delima), Pak Su Loman (Imam
Bunut Susu), Haji Yaakub Awang, Kg Jelutong,
Gunong, Bachok dan Haji Che Wil Abdul Latif,
Kg Meranti Besar.
Tuan Guru Haji Awang Lambor berpulang
ke rahmatullah pada pukul 3 petang Sabtu
27 Zulkaedah 1382 bertepatan 20 April 1963
dan dikebumikan di tanah perkuburan Islam
Pondok Lambor, Wakaf Bharu.
-Ismail Che Daud
|