Tokoh guru pondok akhir abad
ke-19 dan awal abad ke-20 yang seangkatan
dengan Tok Mesir, Tok Ayah Kerasak, Haji
Nik Mat Dagu dan Haji Ismail Pengkalan Paung.Rakan
akrab Haji Abdul Latif Jalaluddin ( Bilal
Masjid Kayu Kota Bharu ). Nama penuhnya
ialah Haji Abdul Malek bin Hasan.Lahir di
Kg Sungai Pinang, Tumpat sekitar 1834 dari
kalangan keluarga yang sangat miskin.Menuntut
ilmu di Pattani dan kota suci Makkah selama
14 tahun.Beliau masyhur alim Quran dan kitab
Jawi. Selain mengajar al-Quran dan kitab
Jawi, beliau banyak terlibat dalam usaha
membanteras amalan khurafat dan syirik,
termasuk memuja kubur serta amalan ilmu
sihir.
Di peringkat negeri pula, beliau turut
tersenarai dalam panel utama yang dijadikan
pakar rujuk oleh Sultan Mansor Ibn Sultan
Ahmad (dekad 1890-an) dalam menguatkuasakan
undang-undang Islam seperti hukuman hudud
kepada pencuri dan pembunuh, hukuman ta'zir
kepada orang yang tidak berpuasa (diarak
keliling pekan) dan tidak menutup aurat
(dilumur belakang).
Kebanyakkan murid-murid Tuan Guru Haji
Abdul Malek diberkati Allah dengan ilmu
mereka serta berjaya melahirkan barisan
pendidik pelapis pada zaman masing-masing.Antara
murid-murid kenamaannya: Tok Jerulung @
Haji Mohd Said Muhammad, Haji Samad Hasan
Padang Chenok, Haji Che Mat Taib Pasir Pekan
Hilir, Haji Ismail Musa Temangan, Haji Wan
Abdullah Kg.Chap/Sungai Pinang, Wak Haji
Khatib Ahmad Bemban/Binjai, Tok Kedah @
Haji Idris Penggawa Kangkong, Haji Mahmud
Ali (Imam Kangkong), Haji Daud Saamah (bapa
kepada Tuan Guru Haji Saad Kangkong), Haji
Mohd Akib Ismail Kg.Kelar, Tuan Guru Haji
Ali Pulau Pisang, Tuan Guru Haji Abdullah
Senik (pengasas Pondok Padang di Pasir Mas,
Tuan Guru Haji Wan Ahmad Abdul Halim (pengasas
Pondok Padang Jelapang, Tuan Guru Haji Abdul
Rahman Osman (pensasas Pondok Selehong),
Tuan Guru Haji Yusuff Abdul Rahman (pengasas
Pondok Pulau Ubi), Haji Ibrahim Tok Raja
(Mufti Kerajaan Kelantan) dan Haji Seman
Sering (kemudian lebih terkenal dengan nama
Syeikh Osman Jalaluddin al-Kelantan)
Datuk kepada Dato' Dr.Nik Safiah Karim
(Profesor Adjung di Universiti Malaya) ini
kembali ke rahmatullah di Sungai Pinang
pada malam Rabu 11/12 Ramadhan 1353 bersamaan
18 Desember 1934.
-Ismail Che Daud
|