|
Salah
seorang guru pondok dan ulamak pengarang
tersohor di Semenanjung Melayu pada suku
abad ke-20 Masihi. Seangkatan dengan Tok
Seridik, Haji Ismail Pontianak , Haji Omar
Banggol Kulim , Dato' Perdana, Haji Mat
Jebeng. Beliau bukan sahaja terkenal di
Kelantan dan Pulau Pinang, tetapi juga terbilang
di Makkah.
Nama penuh tokoh ulamak kelahiran
Kg. Panjang, daerah Sering di sempadan jajahan
Kota Bharu / Bachok pada penghujung tahun
129 H/1880 M ini ialah Haji Osman bin Muhammad.
Lantaran itu pada peringkat awalnya beliau
lebih dikenali dengan panggilan Haji Seman
Sering.
Beliau termasuk dalam kumpulan murid
kesayangan Tok Kenali. Juga pernah berguru
dengan Haji Jamaluddin Perupok dan Haji
Abdul Malek Sungai Pinang. Di makkah pula
, beliau sering mendampingi Tuan Mukhtar
Bogor ( Syeikh Mohd mukhtar bin Atarid )
yang ternama itu.
Namanya mula timbul selepas kejayaan
beliau mendirikan Madrasah Manabi al- Ulum
(1932) di Penanti, bukit Mertajam. Madrasah
ini kemudiannya muncul sebagai pusat pengajian
pondok yang paling maju di Seberang Perai,
khususnya pada dasawarsa 1930-an dan 1940-an.
Sebagai pendidik yang dedikasi,
beliau banyak menghasilkan karya-karya sendiri
dan terjemahan. Syeikh Usman bukan sahaja
berhati-hati dalam menghasilkan sesuatu
karangan tetapi juga selalu memilih topik
yang berkait rapat dengan persoalan yang
dihadapi oleh masyarakat . Kitab Durrat
al Nafi'ah ( Alamat Kiamat ) karangannya
meletakkan beliau sebagai sasterawan yang
berpandangan jauh kerana ia dianggap buku
berbahasa Melayu paling terperinci membicarakan
perihal tanda tanda dunia hampir kiamat.
Disamping itu, Syeikh Osman kerap
berulang alik ke Makkah dan diberi kepercayaan
mengajar di Masjidil Haram . Sebab itu muridnya
ramai. Mereka termasuk Haji Abdul Rahman
Sungai Durian, Haji Abdul Rahman Lubok Tapah,
Haji Abdullah Lati, Haji Abdullah Kg. Laut,
Haji Hassan Ketereh, Haji Abu Bakar Bukit
Tiu, Haji Mohd Ibrahim Akibi Pulau Pinang,
Haji Ismail Merbok, Haji Hussein Umbai,
Haji abdul Ghani Kubang Bembandan diantara
masih ada lagi ialah Ustaz Abdul kadir Kamaluddin
( lahir 1921 ) , Ketapang Tengah, pekan,
Pahang.
Tokoh yang amat mementingkan istiqamah
dan disiplin diri ini ditakdirkan meninggal
dunia di tanah suci di makkah waktu fajar
pada hari Jumaat 30 Zulhijjah 1371 bersamaan
19 September 1952.
-Ismail Che Daud
|