| Nama lengkapnya ialah Wan Sulaiman bin
Wan Siddiq bin Wan Aman bin Wan Net binti
Wan Su. Wan Su adalah Datuk Temenggung Kolot
Bukit Lada yang berasal dari Patani. Wan
Net binti Wan Su berkahwin dengan Wan Muhammad
Hadi. Wan Sulaiman dilahirkan di Mukim Padang
Kerbau, dalam daerah Kota Setar, Kedah pada
tahun 1291 Hijrah/1874 Masih dan meninggal
dunia pada 28 Muharam 1354 Hijrah/2 Mei
1935 Masihi.
Ibu kepada Wan Sulaiman bernama Wan Jamilah
atau digelar dengan Wan Tam Kecil. Wan Jamilah
adalah adik beradik dengan Datuk Kerani
Muhammad Arsyad, Kerani Rahsia Kerajaan
Kedah. Ayah mereka berdua bernama Haji Abu
Bakar (Kadi Daerah Yan, Kedah) bin Wan Nurdiman
bin Datuk Seri Paduka Raja Laksamana.
Wan Jamilah adalah anak saudara dan sepupu
kepada Wan Hajar (Mak Wan Besar) binti Wan
Ismail bin Datuk Seri Paduka Raja Laksamana,
iaitu ibu kandung kepada Sultan Abdul Hamid,
Raja Muda Tengku Abdul Aziz dan Tengku Mahmud,
Presiden Majlis Negeri yang pernah menjadi
Pemangku Sultan. Bererti pula Wan Jamilah
adalah anak saudara sepupu kepada Wan Muhammad
Saman bin Wan Ismail yang pernah menjadi
Perdana Menteri Kedah. Ini kerana Wan Hajar
adalah adik beradik dengan Wan Muhammad
Saman.
PENDIDIKANNYA
Dalam usia 9 tahun, Wan Sulaiman mendapat
pendidikan bahasa Melayu di sekolah yang
dibuka oleh Haji Din. Pendidikan tersebut
ditempuh lebih kurang tiga tahun, iaitu
sekitar tahun 1882 - 1885. Dalam masa yang
sama beliau juga mengaji al-Quran kepada
Haji Ismail al-Kalantani. Wan Sulaiman juga
mempelajari bahasa Inggeris kepada Dr. Gromez.
Wan Sulaiman berhasil mengIslamkan gurunya
ini setelah beliau pulang dari Mekah.
Ketika berusia 19 tahun pada tahun 1889,
beliau melanjutkan pelajarannya ke Mekah.
Sewaktu di Mekah beliau belajar kepada ramai
ulama, seperti juga ulama-ulama dunia Melayu
yang telah disiarkan dalam ruangan ini sebelumnya.
Senarai ulama dunia Melayu di Mekah yang
pernah menjadi guru kepada Wan Sulaiman
ialah Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani, Syeikh
Wan Ali al-Kalantani, Syeikh Ahmad al-Fathani,
Syeikh Daud bin Mustafa al-Fathani, Syeikh
Ahmad Lingga, Syeikh Ahmad Khatib Minangkabau,
Syeikh Muhammad Zainuddin Sumbawa dan ramai
lagi.
Di antara sahabat beliau yang sebaya umur
dengannya ialah Syeikh Muhammad Said Linggi
(lahir 1292 Hijrah/1875 Masihi, meninggal
dunia 1345 Hijah/1926 Masihi). Walau bagaimanapun
Syeikh Wan Sulaiman bin Wan Siddiq menerima
Thariqat Naqsyabandiyah daripada Syeikh
Faqir Muhammad Andakhuri al-Bukhari (meninggal
dunia di Taif pada 19 Rabiulawal 1321 Hijrah/14
Jun 1903 Masihi). Sedangkan Syeikh Muhammad
Said Linggi adalah pengamal Thariqat Ahmadiyah
Idrisiyah yang diterima daripada Syeikh
Muhammad ad-Dandarawi.
AKTIVITI
Wan Sulaiman pulang ke Kedah pada hari Isnin
9 Rabiulakhir 1324 Hijrah/30 Julai 1906
Masihi. Sungguh pun demikian ada pendapat
yang menyebut bahawa beliau pulang pada
tahun 1329 Hijrah/1910 Masihi.
Pendapat saya bahawa beliau pulang ke Kedah
pada 9 Rabiulakhir 1324 Hijrah/ 30 Julai
1906 Masihi dikuatkan pula sebuah karya
beliau berjudul `Umdatul Aulad, diselesaikan
di Kedah pada 8 Muharam 1326 Hijrah bersamaan
10 Februari 1908 Masihi. Oleh sebab karya
ini diselesaikan di Kedah lebih kurang 2
tahun sebelum tahun 1329 Hijrah/1910 Masihi,
dengan demikian pendapat yang menyebut Wan
Sulaiman pulang ke Kedah pada tahun 1329
Hijrah/1910 Masihi adalah sangat diragui.
Tidak berapa lama dari tarikh kepulangannya,
Wan Sulaiman dilantik dengan beberapa jawatan;
dimulai dengan kadi, kemudian Kadi Besar
dan terakhir sekali Syeikhul Islam Kedah.
Selain sebagai Syeikhul Islam, beliau juga
giat mengajar di beberapa surau. Kemuncak
aktivitinya ialah mengajar yang dipusatkan
di Masjid Zahir. Masjid Zahir Kedah tersebut
masih terkenal sehingga sekarang.
THARIQAT NAQSYABANDIYAH
Selain mengajar perkara-perkara yang tertakluk
dengan fardu ain, fikah, usuluddin, tasawuf,
al-Quran dan tajwidnya, Wan Sulaiman juga
mentawajjuhkan zikrullah menurut metode
Thariqat Naqsyabandiyah Ahmadiyah Mujaddidiyah.
Ada yang berpandangan bahawa me-masuki thariqat
akan mengakibatkan kemunduran pembangunan
duniawi, namun jika kita membaca karya-karya
mengenai ilmu tersebut yang dikarang oleh
ahlinya, termasuk karangan-karangan Syeikh
Wan Sulaiman, tuduhan seperti itu adalah
tidak benar. Sebagai contoh Wan Sulaiman
adalah seorang ulama yang bergerak aktif
sama ada untuk kepentingan duniawi dan ukhrawi.
Wan Sulaiman juga telah mengeluarkan fatwa-fatwa
mengenai Islam yang merupakan fatwa rasmi
kerajaan Kedah pada zamannya.
Wan Sulaiman berpandangan bahawa selain
aktiviti duniawi, urusan kehidupan (ma`isyiah)
mestilah disegandingkan dengan aktiviti
secara berjamaah antara guru (mursyid) dengan
murid-muridnya.
Katanya lagi, pertemuan shuhbah (istilah
dalam tasawuf, maksudnya murid yang terdekat)
dengan mursyid sekurang-kurangnya setiap
hari tiga kali, iaitu pada waktu sembahyang
Subuh, Zuhur dan Asar. Setiap pertemuan
sentiasa membahaskan pelbagai bidang ilmu,
bahkan juga tiada sunyi daripada membahaskan
permasalahan dan kepentingan duniawi. Walau
bagaimanapun urusan duniawi mestilah ditimbang
menurut yang dibenarkan oleh syarak Islam
atau sebaliknya.
JASANYA
Beliau adalah pemikir dan pengasas pertama
Madrasah al-Hamidiah pada tahun 1916 di
Limbong Kapal Kedah. Beliau melantik sahabatnya
Haji Abdullah Fahim menjadi mudir madrasah
tersebut. Madrasah al-Hamidiah. Masyarakat
menyebutnya Madrasah Pak Wan Sulaiman, juga
Sekolah Arab Limbong Kapal. Ia merupakan
tempat pendidikan Islam mengikut sistem
persekolahan moden kedua terawal di Semenanjung
Tanah Melayu, kerana yang paling awal ialah
Madrasah Al-Attas di Johor Bahru, 132 Hijrah/1914
Masihi.
Setelah memperhatikan kemajuan pendidikan
tersebut, Wan Sulaiman bersama Tengku Mahmud
akhirnya memikirkan pula untuk menubuhkan
sekolah menengah Islam. Walau bagaimanapun
Wan Sulaiman tidak sempat melihat sekolah
yang dicadangnya itu, kerana sekolah tersebut
berfungsi setahun setelah beliaumeninggal
dunia. Sekolah itu ialah Al-Ma'ahad Mahmud
yang kemudian lebih dikenali dengan nama
Maktab Mahmud di Simpang Kuala Alor Setar
yang mulai bergerak pada 29 Rabiulawal 1355
Hijrah/16 Jun 1936 Masihi.
Maktab Mahmud termasuk di antara sekolah
menengah Islam yang terkenal di Malaysia
sampai sekarang. Ramai pelajar lepasan madrasah
itu yang menjadi tokoh pelbagai bidang,
bukan hanya dalam urusan Islam tetapi juga
bidang-bidang lainnya. Ini merupakan jasa
besar dan amal jariah Syeikh Wan Sulaiman.
KARYA-KARYANYA
Wan Sulaiman juga menghasilkan beberapa
buah karangan, di antaranya ialah:
1. `Umdatul Aulad fi Bayani fi `Ibadatihim
ila Rabbil `Ibad, diselesaikan pada 8 Muharam
1326 Hijrah di Kedah Darul Aman. Kandungannya
merupakan pelajaran darjah pertama bicara
ibadat. Cetakan Keriterian Press Limited,
Pulau Pinang.
2. Nihayatul Mathlub fi Tashfiyatil Qulub,
diselesaikan pada 30 Jamadilawal 1337 Hijrah
di Kedah yang berbentuk manuskrip. Disalin
oleh Muhammad Tahir al-Juhuri (Johor) 16
Syaaban 1376 Hijrah/Mac 1957 Masihi. Kandungannya
merupakan pelajaran Thariqat Naqsyabandiyah.
3. Futuhat Qad-hiyah, diselesaikan pada
17 Rabiulawal 1343 Hijrah di Kampung Limbong
Kapal, Kedah. Kandungannya membahas mengenai
Thariqat Naqsyabandiyah-Mujaddidiyah Ahmadiyah.
Cetakan kedua, oleh Haji Hasyim bin Abdullah,
di Percetakan Siaran, Alor Setar.
4. Qashidah Menyanyi Lagu Abyari, diselesaikan
pada 3 Muharam 1344 Hijtah/1925 Masihi di
Kampung Limbong Kapal, Kedah. Kandungannya
tentang akidah untuk kanak-kanak. Terdiri
daripada 114 bait syair. Diceritakan bahawa
ia disusun ketika dalam perjalanan menaiki
kereta api ke Bangkok sewaktu mengiringi
Tengku Mahmud. Cetakan The Kedah Goverment
Press, tanpa disebutkan tahunnya.
5. Tanwirul Bashirah ..., diselesaikan pada
20 Rejab 1347 Hijrah/1928 Masihi. Dicatatkan
pada halaman belakang oleh Al-Haji Wan Ismail
Daud, Setiausaha Hal Ehwal Jabatan Agama
Negeri Kedah, katanya, ``Di atas jasa-jasa
baik al-Marhum asy-Syeikh Wan Sulaiman bin
Wan Siddiq dan perjuangannya untuk menegakkan
agama, bangsa dan nusa, janganlah hendaknya
kita sebagai kata pepatah, ``Kacang lupakan
kulit, hadiah Fatihah kepadanya.'' Cetakan
Persama Press, Pulau Pinang.
6. Nazham Syair Bicara Sirah An-Nabawiyah
dan Dualul Islamil Kubra Kerajaan Islam
Yang Besar-Besar, diselesaikan pada 3 Muharam
1348 Hijrah/1929 Masihi. Kandungannya merupakan
syair yang terdiri daripada 198 bait. Selanjutnya
menceritakan kelahiran Nabi Muhammad s.a.w.,
sirah dan akhlak Nabi s.a.w. Disinggung
juga mulai berdirinya Khalifah Usman bin
Artoghrrol pada tahun 699 Hijrah hingga
pemerintahan Sultan Abdul Hamid Tsani tahun
1293 Hijrah. Cetakan Kerajaan Kedah, tanpa
tahun.
7. Mizanul `Uqala' wal Udaba', diselesaikan
pada 16 Disember 1950 Hijrah. Kandungannya
tentang pengertian syariat, thariqat, haqiqat
dan ma'rifat. Cetakan keenam oleh Haji Hasyim
bin Abdullah. Kesimpulannya bahawa keseluruhan
karangan yang diketahui ada 17 judul, penulisan
pertama tahun 1326 Hijrah/1908 Masihi dan
berakhir pada tahun 1350 Hijrah/1931 Masihi.
KETURUNANNYA
Daripada perkahwinan Wan Sulaiman dengan
Wan Kalsum binti Wan Abdul Hamid memperoleh
11 orang anak. Di antaranya yang sempat
berkahwin ialah: 1. Wan Noor berkahwin dengan
Syed Muhammad Al-Jufri. 2. Wan Mardhiyah
berkahwin dengan Datuk Hj. Wan Ibrahim bin
Wan Soloh. 3. Wan Rahimah berkahwin dengan
Ismail Kasim. 4. Wan Zakhiuddin berkahwin
dengan Zainab binti Abdullah
|