| Sepanjang
hampir seratus tahun yang kebelakangan,
bidang Falak Syari di alam Melayu Nusantara
seringkali dikaitkan dengan nama Sheikh
Muhammad Tahir Jalaluddin Al-Falaki Al-Azhari.
Beliaulah tokoh terulung yang telah memantapkan
bidang fardu kifayah tersebut di rantau
ini menerusi pengajaran, penggunaan dan
penyibaran ilmu tentangnya di kalangan 'alim
ulamak yang bertanggungjawab membuat taqwim
Islam tempatan.
Sheikh Muhammad Tahir dilahirkan pada (hari
Selasa) 4 hb. Ramadan 1286 Hijri (bersamaan
9hb. Disember 1869) di Ampat Angkat, Bukit
Tinggi (Minangkabau), Sumatra Barat. Bapanya
seorang ulamak dikenali sebagai Sheikh Muhammad
(juga Gergelar Tuanku Muhammad atau Tuanku
Cangking); datuknya keturunan bangsawan
Minangkabau bernama Tuanku Ahmad Jalaluddin.
Beliau yatim ketika kecil lagi dan dibesarkan
oleh keluarga pihak ibunya; dan apabila
berumur hampir 12 tahun, telah dihantar
ke Makkah untuk belajar dan mendalami ilmu-ilmu
agama Islam. Beliau berada di Makkah selama
lebih 12 tahun. Di antara bidang-bidang
yang telah beliau perolehi dan perdalami
ialah ilmu-ilmu al Qur'an, Hadith, Tauhid,
Fiqah, Usul Fiqh, Nahu, Saraf, Bayan, Ma'ani,
Badi', 'Arudh, Mantiq, Tafsir, Hisab Handasah
dan Falak. Beliau banyak dipengaruhi oleh
ilmu, pendekatan dan kealiman peribadi gurunya,
Sheikh Ahmad Khatib iaitu saudara berpangkat
sepupu dengannya yang pada waktu itu terlantik
sebagai Mufti Mazhab Shafi'i di Masjidil
Haram. Sheikh Tahir pulang ke Sumatra ketika
berumur 24 tahun dan selepas 4 tahun di
sana, sekali lagi berangkat ke Timur Tengah,
kali ini ke Mesir.
Bidang Falak telah beliau perdalami lagi
semasa belajar di Universiti Al-Azhar, Mesir
selama 4 tahun (1314-1318 H. bersamaan 1893-1897
M.). Semasa di situ beliau menerima juga
pengaruh daripada pemikiran Sayid Jamaluddin
Al-Afghani dan Sheikh Muhammad Abduh, tokoh
Gerakan Isiah (Pembersihan) dan Reformasi
Islam yang berjuang untuk membersihkan Islam
daripada fahaman yang bercampur-baur adat-resam
kuno, dan mengembalikan Islam ke landasan
al-Qur'an dan Hadith yang suci. Lantaran
kegiatan Sheikh Muhammad Tahir yang berkait
dengan pemikiran Reformasi inilah, beliau
dikenali juga sebagai ahli'Kaum Muda'atau
golongan ulamak Reformis di kalangan masyarakat
Melayu-Nusantara.
Semasa di Mesir beliau mula berdampingan
dengan tokoh-tokoh perjuangan Islam -seperti
Sheikh Muhammad Rashid Ridha -- yang bergiat
dalam penulisan rencana-rencana melalui
akhbar yang berunsur Islam, seperti Al-Manar.
Sheikh Muhammad Tahir pernah juga menyumbangkan
rencana-rencana ilmiah dalam akhbar tersebut.
Pendekatan seperti ini telah beliau terapkan
sekembalinya ke Tanah Melayu, dengan membuat
banyak sumbangan kepada majalah-majalah
Al-lmam dan Al-lkhwan (di bawah kelolaan
Sayid Sheikh Al-HadL dan Iain-Iain rakannya,
dan surat khabar -Saudara.
Dalam zaman mudanya, Sheikh Tahir kerap
berulang-alik ke Makkah dan Mesir, sama
ada untuk membawa jemaah haji dari Sumatra
ataupun untuk membuat perniagaan secara
sampingan. Perkahwinan Sheikh Muhammad Tahir
semasa zaman mudanya di Sumatra tidak kekal.
Beliau bernikah dan bercerai sebanyak 5
kali semasa itu, di atas persetujuan pihak-pihak
isteri berkenaan, kerana adat Minangkabau
waktu itu sangat mendorong para wanita dan
keluarga mereka untuk memperolehi zuriat
daripada 'alim ulamak. Walau bagaimanapun,
sistem Adat Perpatih yang kuat itulah juga
di antara sebab-sebab Sheikh Tahir berpindah
keluar dari daerah Minangkabau dan merantau
ke Tanah Melayu mulai tahun 1317H/ 1899M.
Perkahwinan Sheikh Muhammad Tahir (pada
21 Jamadilawal 1317 H. bersamaan 28 September
1899 M., dengan isterinya yang keenam bernama
Aishah binti Haji Mustafa, anak seorang
saudagar dari Kuala Kangsar, Perak) kekal
sehingga akhir hayatnya. Mereka dikurniakan
dengan enam orang anak -- iaitu Rahmah,
Muhammad, Ahmad, Azizah, Hamdan dan Hamid.
Menerusi asuhan ibu yang berdidikasi, didikan
Sheikh Tahir yang unik, kemudahan pendidikan
bercorak baru dan bakat serta rezekinya
sendiri, maka anak Sheikh Tahir yang kelima,
(Tun) Hamdan terus meningkat dalam dunia
pendidikan dan kerjayanya sehingga menjawat
beberapa jawatan tinggi dan kini mendapat
gelaran Tun serta menjadi Tuan Yang Terutama
Yang dipertua Negeri Pulau Pinang.

Pusat Falaq Sheikh Tahir yang mengambil
sempena nama beliau yang terletak di Pantai
ACheh Pulau Pinang tempat cerapan hilal
dan kajian falaq oleh USM
Sebagai ulamak dan pejuang agama, Sheikh
Muhammad Tahir Jalaluddin telah menjelajah
ke banyak tempat di alam Melayu-Nusantara
termasuk Tanah Melayu, Sumatra, Singapura
dan Kepulauan Riau. Semasa di Sumatra (1348
H./1927 M.) beliau pernah dipenjarakan oleh
penjajah Belanda atas suatu tuduhan palsu,
tetapi akhirnya telah dibebaskan selepas
ditahan selama enam bulan. Beliau mempunyai
semangat anti penjajah yang kuat, di samping
mempunyai pendirian yang tegas dan keras
dalam hal-hal keagamaan. Inilah di antara
aspek peribadinya yang menyebabkan Sheikh
Tahir tidak dapat menetap lama di sesuatu
tempat, di samping adanya pergeseran dengan
golongan ulamak 'Kaum Tua'.
Beliau menjadi Hakim Besar Mahkamah Syariah
di Taiping, kemudiannya terlantik sebagai
Mufti Negeri Perak Darul Ridzuan selama
3 tahun, dalam zaman pemerintahan Sultan
Idris. Walau bagaimanapun, fatwa-fatwa Sheikh
Tahir tidak diterima oleh ulamak golongan
'Kaum Tua'. Beliau berkhidmat dengan negeri
Johor Darul Takzim pada tahun 1335 H. (1914
M.), sebagai Pendidik dan Nazir sekolah-sekolah
agama Johor selama 4 tahun; dan sekali lagi
selama 3 tahun (1346-49 H./ 1925-28 M.).
Dalam lingkungan masa yang sama, beliau
sempat berkhidmat sebagai mudir (guru besar)
Madrasah Haji Muhammad Taib, di Parit Jamil,
Muar -- iaitu sebuah sekolah menengah agama
yang memberi pengajaran-pembelajaran Islam
yang menyeluruh sambil menekankan bahawa
Bahasa Melayu, Bahasa Arab dan Bahasa lnggeris
hendaklah dipelajari untuk menambahkan ilmu
pengetahuan. Dalam dunia pendidikan Sheikh
Tahir sentiasa mempunyai pemikiran dan pandangan
yang jauh ke hadapan daripada pemikiran
semasa dalam zamannya. "Beliau sentiasa
mendahului zamannya!" menurut kata-kata
anak Sheikh Tahir, iaitu Tun Dato'Seri (Dr.)
Haji Hamdan Sheikh Tahir, Yang di Pertua
Negeri Pulau Pinang pada waktu ini. Sheikh
Tahir pernah bermastautin di Singapura untuk
memberi sumbangan penulisan dan penerbitan
majalah Al-Imam. Beliau berkhidmat di Madrasah
Al-Masyhoor Pulau Pinang sebagai Pendidik
dan Pengetua selama 3 tahun (1341-44 H./
1920-23 M.), kemudian pulang ke Kuala Kangsar.
Sheikh Tahir ke Makkah sekali lagi pada
tahun 1349 H. (1928 M.), kemudiannya bersara
di Kuala Kangsar, Perak mulai tahun 1350
(1929). Namun begitu, beliau terus aktif
sehingga akhir hayatnya sebagai ulamak-penulis
dan ahli Falak Syar'i yang menabur khidmat
baktinya kepada ramai penuntut yang kemudiannya
menjadi ulamak.
Sheikh Muhammad Tahir telah melahirkan karya-karya
yang meliputi beberapa bidang. Yang paling
penting dari sudut Falak Syar'i ialah kitab
Natijatul'Umur (diterbitkan pada tahun 1357
H./ 1936 M.) iaitu kira-kira untuk Taqwim
Hijrah dan persamaannya dengan Taqwim Miladi
(Masehi), hala kiblat, dan waktu solat untuk
sepanjang zaman; dan Kitab Jadual Pati Kiraan
iaitu panduan untuk menentukan waktu solat
dan arah kiblat berserta logarithms untuk
mengiranya (diterbitkan pada tahun 1362
H./ 1941 M.).
Sheikh Muhammad Tahir Jalaluddin Al-Falaki
Al-Azhari telah kembali ke rahmataullah
pada pagi Jumaat 21 Rabiulawal 1377 (bersamaan
26 Oktober 1956) pada usia 87 tahun, dan
dikebumikan di Tanah Perkuburan Jalan Baru,
Kuala Kangsar, Perak. Jabatan Muzium Negara
Malaysia telah mengistiharkan tempat pemakaman
beliau sebagai makam bersejarah untuk memperingati
jasa beliau. Kini Kerajaan Negeri Pulau
Pinang menamakan sebuah Pusat Observatori
di Pantai Acheh Pulau Pinang sebagai Pusat
Falak Sheikh Tahir, bagi memperingati peranan
dan ketokohan beliau dalam bidang Falak.
Rujukan :
• Cenderamata Majlis Memperingati
Tokoh/ Ulama Islam Silam 1976/ 77 Sheikh
Tahir Jalaluddin (1869-1956) Fakulti Pengajian
Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (21
Februari 1977).
• Hamdan Hassan. Sheikh Tahir Jalaluddin,
Pelopor Pembaharuan Pemikiran Islam di Malaysia.
Dalam Dewan Bahasa, 1973, 405-419.
• Mohd. Sarim Mustajab. Sheikh Muhammad
Tahir Jalaluddin al-Falaki: Pelopor Gerakan
Isiah Islamiyah di Tanah Melayu. Dalam Malaysia
in History. vol 20, no.2 (December 1977).
1-11.
• Raja Mohd. Affandi. Sheikh Taliir
Al-Azhari, Pemimpin Reformis Islam. Dalam
Dewan Masyarakat, Januari 1977, 35-37.
• Temubual dengan T.Y.T. Tun Dato'Seri
(Dr.) Haji Hamdan bin Sheikh Tahir; pada
16 dan 20 September 1991 (bersamaan 8 dan
12 Rabiulawal 1412 H.) di "Seri Mutiara",
Pulau Pinang.
|