|
Tokoh
guru pondok yang paling terkemuka di Jajahan
Tumpat selepas zaman Haji Abdul Malek Sungai
Pinang. Seangkatan dengan Tok Kenali, Tok
Padang Jelapang, Tok Bachok, Tok Seridik
dan Tok Kemuning.
Nama sebenarnya ialah Haji Abdul
Rahman bin Haji Osman. Kadang-kadang dipanggil
juga dengan nama Haji Abdul Rahman Syair
atau Tok Syair kerana kepandaiannya mengarang
syair.
Seorang daripada guru awalnya tentulah
Haji Abdul Malek Sungai Pinang yang berdekatan
dengan kampungnya. Kamudian menyambung belajar
di pondok Cha-ok, Petani berguru dengan
Tok Cha-ok @ Haji Abdullah bin Mohd Akib.
Akhir sekali pergi mendalami pengajian di
kota Makkah - berguru dengan Pak Chik Wan
Daud Patani, Tuan Mukhtar Bogor, Tok Shafie
Kedah dan ramai lagi.
Selepas 18 tahun bermukim di tanah
suci Makkah, pulang ke tanah air (1921)
lalu mengasas pusat pengajian pondok sendiri
di pinggir sungai Selehong. Di pondok inilah
beliau mengajar dan mengembangkan pondoknya
yang sangat dikenali ramai pada zaman itu.
Bidang ilmu yang sangat ditumpukannya ialah
ihsannuddin atau tasawuf dengan Syarh Hikam
Ibn Ata'Allah sebagi teks utama. Tok
Seleong masyhur sebagai ahli sufi yang zahid.
Bagi tujuan supaya hatinya tidak tertambat
kepada dunia, beliau menggali sebuah lubung
khas dalam kawasan tanah perkuburan Islam
berhampiran pondok Selehong yang dijadikan
semacam kamar khusus tempat belau beribadat
dan bersuluk.
Hobi tok guru yang pandai bersilat
ini pun agak aneh. Beliau bukan sahaja sering
keluar memukat ikan dan berburu rusa, malahan
meminati haiwan yang cantik-cantik seperti
kuda, biri-biri jantan, ayan jantan laklung
persis orang pelihara ayam serama zaman
kini. Bapa mertua kepada Tuan-tuan Guru
Haji Ahmad Batu Tiga Repek dan Haji Awang.
Beliau kembali ke rahmatullah pada jam 8.30
malam Khamis 18 Zulkaedah 1353 bersamaan
20 Favruaru 1935 dan dikebumikan di Kubur
Selehong, Tumpat. Kegiatan dakwah Islamiahnya
diteruskan oleh murid-muridnya hingga kehari
ini.
Antara yang mashur termasuklah Pak
Cu Che Abbas Kelong, Haji Yaakub Kelong,
Haji Pak Man Berangan, Haji Che Mamat Kok
Keli, Haji Awang Lambor, Haji Yaakub Wakaf
Bharu, Haji Abdul Rahman Dalam Pator, Haji
Abdul Rahman Tendong, Haji Abdul Rahman
Pohon Tanjong, Hj. Abdullah Tal Tujoh, Hj
Che Mat Padang Upeh, Hj. Abdul Aziz Kg.
Tujoh, Hj. Mat Bola Geting, Hj. Saleh Pedada
Bunohan, Pak Su Wil Kg. Dangar, Hj. Abdul
Kadir Gaal, Yb Hj. Muhammad Batu Hitam dan
Hj. Wan Abdul Latif Jerteh (Terengganu).
- Ismail Che Daud
|